08 October 2008

CORETAN CIK SERI 3

Pagi itu Seri sampai awal di tempat kerjanya. Memandangkan beliau merupakan seorang pensyarah, Seri mendapat kemudahan bilik pensyarah. Setelah mengetipkan kad kedatangan pekerja, Seri terus ke biliknya. Dia membuka komputer peribadinya dan melihat emel-emel yang dihantar kepadanya.

Nampaknya Eva belum membalas emel yang aku kirimkan padanya 2 hari lalu, mungkin dia masih bercuti raya lagi, bisik hati Seri.

Eva adalah seorang kenalan internet Seri yang selalu beremel dengannya. Sebenarnya Seri tidak mengenali Eva yang sebenar di dalam dunia realiti, hanya maklumat yang asas sahaja yang diketahui mengenai Eva. Walaupun mereka pernah bertukar-tukar gambar diri dan keluarga masing-masing tetapi mereka belum pernah berjumpa.

Perkenalan dengan Eva berlaku dengan kebetulan. Eva menghubunginya melalui mesej peribadi di dalam satu forum kerana tertarik dengan posting yang dihantar oleh Seri di dalam forum tersebut. Sebenarnya, Eva menghadapi situasi yang sama seperti Seri. Eva menghadapi saat getir dan pahit di dalam hidupnya kerana terlibat di dalam sebuah perhubungan yang membawa kepada konflik kepada dirinya dan keluarganya. Eva menghubungi Seri kerana ingin berkongsi masalah dengan Seri.

Sebenarnya perhubungan dengan Eva adalah satu rahmat kepada Seri. Selama ini Seri mengubat hati sendiri dan tidak punya sesiapa untuk berkongsi cerita dan rasa. Tidak ada kawan yang mengetahui kisahnya dengan Yazid, dan mungkin tidak ada siapa pun yang faham tentang perhubungan tersebut. Perhubungannya dengan Yazid adalah satu perhubungan yang unik dan sukar untuk orang lain memahaminya.

Dengan kehadiran Eva, setelah setahun setengah hubungannya dengan Yazid telah putus, menjadi satu pengubat kepada diri Seri. Seri dapat berkongsi dengan Eva pengalamannya menghadapi saat getir apabila difitnah dan dikhianati oleh Yazid. Seri bertatih untuk mengumpulkan kekuatan jiwa setelah hatinya dilukai oleh Yazid yang dianggapnya sebagai kawan yang baik dan setia. Tidak ada yang lebih menyedihkan apabila dikhianati oleh seorang yang kita percayai selama ini.

Seri tahu Eva seorang wanita yang tabah dan cekal. Hatinya lurus dan mudah simpati dengan orang lain Tetapi malang baginya, diketemukan dengan seorang lelaki yang bersikap pengecut seperti Yazid. Eva dipersalahkan sepenuhnya dan dituduh sebagai perosak dan penganggu rumah tangga lelaki itu sedangkan pada hakikatnya, lelaki tersebut yang memulakan perhubungan tersebut, mengocak hati dan perasaan Eva dengan kata-kata manis. Cuma apabila diketahui oleh isterinya, lelaki itu menafikan segala-galanya dan menuduh Eva sebagai perempuan yang cuba menggoda dan memerangkapnya. Pelbagai penghinaan dihamburkan oleh lelaki dan isterinya kepada Eva. Lebih malang lagi apabila mereka berada di dalam komuniti yang sama, lelaki dan isterinya memburuk-burukkan Eva kepada rakan-rakan mereka.

Kasihan Eva, tentu teruk tekanan yang dihadapinya waktu itu, Seri seakan turut dapat merasai kepahitan yang perlu Eva hadapi itu.

Seri hanya dapat membantu Eva dengan menjadi pendengar setia kisahnya dan memberikan kata-kata sokongan agar Eva dapat mengubat jiwanya dan mengembalikan kepercayaan kepada diri sendiri.

Memang jika kurang kuat jiwa, segala penghinaan dan pengkhianatan seperti itu akan membuat seseorang hilang keyakinan diri, getus hati Seri.

Seri faham sungguh dengan situasi itu kerana dia turut melalui pengalaman yang hampir sama seperti Eva.

No comments: