07 October 2008

CORETAN CIK SERI 2

Perjalanan pulang ke rumah Seri mengambil masa hampir setengah jam dari tempat kerjanya. Sengaja Seri memilih kawasan yang agak jauh kerana menyukai suasana kehijauan di sekeliling kediamannya. Rumah yang diduduki sekarang adalah sebuah banglo yang sederhana sahaja, dengan rekabentuk yang simple. Namun Seri merasai itu sudah mencukupi kerana dia bekerja dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk selalu menjaga persekitaran kediamannya. Apatah lagi, memang dia tidak mempunyai pembantu rumah untuk melakukan segala tugas tersebut.

Sesampainya di rumah, Seri tidak terus masuk ke rumah. Rutinnya, dia akan melihat-lihat lanskap di luar kediamannya. Menyiram bunga, dan meneliti perkembangan kesuburan pokok-pokok dan rumput permaidani di halaman rumahnya. Hatinya merasa tenang melihat kehijauan dan keceriaan lanskap di halamannya. Yang paling disukainya adalah pokok bunga melur dan pokok jasmin yang mengeluarkan bau yang harum apabila didekati.

Teringat Seri sewaktu dia berkunjung ke Jordan satu ketika dulu dan menziarahi rumah seorang Profesor dari Universiti Yarmouk. Rumah beliau dipenuhi dengan segala pelbagai jenis tanaman dari pokok bunga hinggalah ke pokok buah-buahan. Kebetulan waktu itu, buah anggur sedang lebat berbuah, merasa juga Seri memetik dan memakan anggur yang sangat manis itu dari pokoknya. Seri dan rombongan ziarahnya juga turut disajikan dengan teh yang dimasak bersama dengan daun pudina. Harum sekali teh tersebut. Seri menyukai dan kagum dengan stail orang Arab meraikan tetamu. Mereka sangat pandai melayan tetamu dan sangat menjaga hati tetamu. Layanan mereka sangat tertib dan beradab. Mungkin ini adalah warisan yang mereka warisi dari budaya yang sudah diikuti turun temurun. Walaupun watak orang Arab ini keras dan kasar, tetapi di dalam bab melayan tetamu, mereka memang patut dipuji. Sepanjang Seri di negara Jordan tersebut, mereka seringkali dijemput dan diraikan sebagai tetamu. Itu yang membuat dia terfikir untuk datang lagi berziarah ke sana.

Ah, kecur air liur aku, bila teringat tentang keenakan kambing panggang yang dicicah dengan laban itu, Seri tersenyum sendiri.

Di Jordan, Seri sempat melawat kawasan pergunungan di mana ada mata air nabi Musa. Kebetulan waktu itu hampir menghampiri musim sejuk, maka selama beliau di sana, keadaan agak dingin dan menyenangkan untuk melakukan lawatan. Sempat juga Seri melihat laut Mati yang merupakan sebuah tasik yang dikatakan terjadi hasil dari balikan bumi disebabkan kemurkaan Allah kepada kaum Nabi Lut yang homoseks. Sebenarnya, air tasik itu tidak sesuai untuk mandi kerana kandungan toksiknya agak tinggi. Walaupun diwar warkan, air di situ elok untuk bermandi manda dan lumpurnya elok untuk dijadikan terapi kepada kulit tetapi Seri merasakan sebaliknya.

Melihat persekitaran tempat tersebut yang kering bergaram, banyak lalat, dan bau udaranya yang tidak menyegarkan, Seri berpendapat promosi tentang kebaikan Laut Mati itu hanya satu sandiwara komersial sahaja. Sampaikan burungpun tidak mahu terbang di atas Laut Mati itu. Malah sebenarnya tidak ada sebarang kehidupanpun yang terdpat di dalam air tasik tersebut.

Burung-burung itu dengan ilham dari Allah kepadanya tahu tentang keburukan Laut Mati, getus hati Seri.

Logiknya, Laut Mati itu terjadi dari kemurkaan Allah SWT maka sudah tentu ia melambangkan kekotoran dan kejelikan kepada kita.

Laut Mati sebenarnya merupakan sempadan antara negara Jordan dan Israel. Benci sungguh aku hendak menyebut Israel itu negara, getus hati Seri.

Ada seorang penduduk tempatan Jordan menceritakan pada Seri bahawa pada tahun 1970an dulu, ada segolongan pemuda Jordan yang menyusup masuk ke Israel melalui jalan air Laut Mati tersebut untuk tujuan berjihad. Mereka menggunakan pelampung kecil sahaja untuk mengaburi mata pihak keselamatan Israel. Sejak itulah, kawalan keselamatan di sempadan Jordan dan Israel diperketatkan.

Sesuatu yang menghairankan aku adalah Israel seakan tidak mampu untuk menembusi Jordan seperti mereka lakukan ke atas negara-negara Islam, mengapa ya, Seri bertanya kepada dirinya sendiri.

Tentu ada sesuatu yang istimewa yang ada di negara Jordan ini yang membuat ia tidak boleh dicerobohi oleh Israel.
, persoalan itu berlegar-legar dalam fikiran Seri.



(bersambung)

No comments: