20 October 2008

CORETAN CIK SERI 7

Pagi ini Seri memulakan harinya dengan kebiasaan rutinnya. Berlegar-legar di halaman rumah melihat dan meneliti segala rumput rampai, pokok bunga dan lanskap lamannya. Itulah laman kesayangannya, yang diberi namanya Laman Seri. Seri menyukai kehijauan laman tersebut dengan rumput yang menghijau subur. Sesekali dia akan memperuntukkan masa untuk mencabut rumput-rumput nakal yang cuba hidup ditengah rumput permaidani yang ditanamnya.


Seri teringat seorang pujangga pernah berkata "Kalau hendak mata senang dan tenang, cintailah dan lihatlah kehijauan di dunia ini".

Memang benar kata-kata pujangga itu,
komen Seri.

Hatinya berbunga gembira kerana impiannya untuk mendapatkan sebuah pergola menghiasi lanskap rumahnya sudah tercapai. Dia merenung pergola itu, memikirkan corak dan bentuk apakah yang akan dihiaskannya. Jenis pokok yang sesuai, jenis batuan yang sesuai, dan pelbagai ilham bercelaru di dalam akalnya.

Sebuah pergola yang tidak sepenuhnya berbumbung, tetapi mempunyai tempat bersantai dan meja kecil untuk menjamu selera. Ia diperbuat dari kayu cengal, dan mempunyai ira kayu yang menarik.



Ketawa Seri bila mengingatkan keletah Fisa anaknya, Jom ibu, kita duduk-duduk, minum-minum, kata Fisa sejurus selepas pergola itu siap dipasang.

Fisa ni memang begitu, cukup suka aktiviti bersantai, sesuailah dengan sifat happy go lucky nya tu, Seri menilai sikap anaknya itu.

Bukannya dia kisah berpanas kat luar, tetapi sebab kulitnya yang putih tu, sekejap sahaja mukanya dah jadi macam udang kena bakar, merah padam, Seri mengomel sendiri.

Hari ini memang Seri sengaja mengambil cuti. Dia bercadang untuk mengadakan jamuan rumah terbuka hari raya esok harinya. Tengahari itu, Seri keluar ke pasaraya untuk mencari bahan-bahan mentah yang akan dimasak untuk jamuan hari esok.

Selalunya Seri akan membeli ayam di kedai Az Zain kerana di sana sahajalah Seri yakin untuk memakannya. Sudah beberapa bulan, Seri tidak makan ayam selain dari ayam di kedai tersebut. Sejak akhir-akhir ini, dia agak cuak untuk memakan ayam sembarangan sejak pelbagai isu tentang kehalalan ayam menjadi bualan hangat masyarakat beberapa bulan lalu.




Geli geleman Seri bila mengingatkan bahwa kebanyakan ayam-ayam yang dijual di pasaraya melalui proses penyembelihan yang tidak syariat dan membawa kepada haram apabila dimakan. Sejak itu, Seri sangat berhati-hati mengenai bab pemakanan.Maka kerana itulah kedai Az Zain yang menjamin barang jualannya semuanya adalah keluaran orang islam dan kehalalannya dijamin menjadi kedai favouritenya.


Tidak mengapalah mahal sedikit, asalkan aku yakin ia halal dan menepati syariat
, getus hati Seri.

No comments: