01 February 2009

CINTA DI HATI

Teman, hidup ini adalah satu perjalanan yang singkat, sedangkan akhirat adalah kampung abadi kita. Di sana, kita akan kekal untuk selama-lamanya. Indahkan dunia ini dengan kasihsayang, serikanlah ia dengan kedamaian kelak kehidupan kita di akhirat sana akan mendapat redhaNya.

Teman, suburkan rasa kasihsayang di hatimu, kelak nanti kau akan merasai indahnya kasih sayang Allah di hatimu. Kemanisan rasa kemaafan pula merungkai dendam dan menyejukkan jiwa. Kau akan dapat rasakan di hatimu betapa indahnya kasihsayang Allah itu, seakan tidak bermakna lagi kasihsayang yang selain daripada itu..hanya Allah dan rasulNya cintamu berkisar...

Bila kau berdiri, berjalan, duduk atau baring, yang kau ingatkan hanya Dia...Dia yang sentiasa menemani dirimu di dalam senang atau susah. Dia sentiasa ada, walau di manapun kakimu berada.

Ada ketika airmatamu mengalir kerana merasakan kehadiranNya, sedangkan ruang hatimu tidak mampu menanggung menahan sebak dan rasa cinta padaNya. Rasa cinta itu kau rasa kerana kau tahu, dia sentiasa ada dihatimu. Tapi kau juga rasa sedih kerana tidak dapat mencintaiNya seperti Dia mencintai dan kasih padamu. Hatimu derita, sedih, mengharap, kau takut akan kehilanganNya atau mendapat kemurkaanNya.

Hatimu sentiasa merintih, jangan ditinggalkan, jangan dipisahkan, meranalah hatimu jika kau terpisah denganNya. Kerana kau tahu tidak ada siapa di dunia ini yang menyayangi dikau sesuci cintaNya. Tetapi kau sedih kerana tidak pernah pandai membalas cintaNya.

Rupanya cinta itu adalah harapan yang menyala-nyala, harapan agar yang dicinta sentiasa menerimamu, sentiasa mengambilberat padamu, sentiasa meredhaimu, dan hatimu takut dan terseksa bilamana kau rasa kau sudah berbuat salah padaNya.

Jika inilah pengorbanan cinta itu, tetapkanlah hati kami untuk sentiasa mencintaiMu ya Tuhanku.

No comments: