Seri merenung jauh, kelihatan gunung yang diselaputi awan, terbentang luas di hadapannya. Di bawahnya, kelihatan pula lautan yang seluas mata memandang. Inilah keindahan yang selalu didambakannya. Keindahan yang menjadi impiannya dek kerana Yazid selalu membayangkan keindahan itu kepadanya.
Ya, Seri kini berada ditempat yang satu masa dahulu, pernah dijejaki dan menjadi tempat Yazid bermastautin selama pengajiannya di situ. Di tempat dimana dua lautan bertemu di sebuah tanjung yang diberi nama tanjung harapan.
Ya, Tanjung Harapan…apa yang kadang-kadang memberi inspirasi kepada insan adalah harapan. Namun selalunya, harapan hanya akan tinggal harapan….
Seri merasakan ada air jernih yang hampir mengalir dari bibir matanya…tanpa dijangka. Betapa rupanya masa tidak dapat menjadi sempadan kepada kenangan.
Betapa kenangan rupanya tidak pernah menjadikan masa sebagai penghalang kepadanya. Kenangan tetap teguh dan masa akan lari mengaku kalah, kerana kenangan itu tidak perlukan masa dan tidak pedulikan masa.
Mengapa aku tidak mampu melupakan kenangan?....Mengapa terlalu sukar melupakan kenangan? Seri bertanya kepada dirinya sendiri.
Persahabatan yang tulus bilaman ia tercipta, hanya kematian menjadi noktahnya, namun sebenarnya ia lebih dari itu…ia merentas sempadan masa dan alam. Seri tahu dalam hidupnya ia amat menghargai persahabatannya dengan Yazid. Walau apapun yang telah berlaku antara mereka, namun Seri tahu tidak pernah ada sekelumit dendam dihatinya, jauh sekali untuk membenci Yazid. Ia dapat merasakan betapa tulus hatinya tehadap Yazid, dan selalu mendoakannya.
Ini adalah perasaanku, apa pula yang Yazid anggap pada diriku ini? Getus hati Seri.
Tidakkah segala perbuatan Yazid selama ini membuktikan bahwa dia membenciku dan telah melupakan aku?
Tidak mengapalah, jika sekalipun dia membenciku, ia tidak sedikitpun menjejaskan rasa kasih sayang persahabatan yang pernah tercipta antara kami, Seri tersenyum pahit.
Ia semua hanya salah faham dan biarlah, aku redha terhadap apa yang berlaku, setiap ketentuan Allah itu ada hikmahNya, aku yakin.
Aku tidak menyalahkan sesiapa, lebih mudah bagiku menyalahkan diriku sendiri, dan aku tahu aku turut bersalah.
Jika sekalipun Yazid bersalah namun aku redha dan telah memaafkan kesalahannya itu.
Seri menarik nafas panjang. Yazid telah meninggalkan segala keindahan ini untuk kunikmati sekarang ini. Walaupun Yazid sudah tidak ada, namun ia masih hidup dalam kenangan. Yazid pergi kerana mencari dan membina kebahagiaan yang Allah telah pertanggungjawabkan kepadanya. Jika Yazid bahagia, maka kebahagiaan itu turut akan aku rasai, Seri tersenyum.
Sebuah persahabatan tidak memerlukan kepada pertemuan zahir, ia hanya perlukan sebuah hati yang sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabatnya, ikatan itu merentas sempadan masa dan tempat, malah terkadang merentas sempadan alam.
Seri bersyukur kepada Allah, kerana diberi kesempatan untuk merasai betapa indahnya sebuah persahabatan. Keindahan itu bukanlah kerana hubungan yang mesra dan sentiasa, namun keindahan itu lahir dari segala kelukaan, kepedihan dan doa kebahagiaan yang tidak pernah berpenghujung. Keindahan itu lahir dari sebuah hati yang sentiasa berbaik sangka dan berlapang dada atas segala perbuatan dan tindakan sahabat kepadanya.
Dan keindahan itu menjadi milik hati Seri kerana dia tahu, Yazid adalah sahabatnya. Kebahagiaan Yazid adalah kebahagiaannya juga. Dan dia yakin Yazid kini sudah sangat bahagia.
Ya Allah, tiada apa yang mampu aku titipkan untuk Yazid, selain dari doa yang akan kupohon padamu selama hayat ini dikandung badan agar Yazid sejahtera dan diberkati kehidupannya.
Seri menyeka airmata yang mengalir dipipinya kerana dia tahu betapa dia benar-benar mendoakan kebahagiaan Yazid kerana Yazid adalah sahabatnya dunia dan akhirat.
Perlahan-lahan Seri mengatur langkah, meninggalkan jejak yang pernah dilewati Yazid satu ketika dulu..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment