Sayyid Aiddarus leluhur yang di atas sekali itu, dari kajian di dapati bersusurgalur kepada RSAW, wallahualam.
Saya perturunkan di sini, salasilah susurgalur itu bermula dari Tun Habab Abd Majid (1688-1697)
Bendahara Tun Habib Abd Majid ibn Bendahara Maharaja Seri Di-Raja ibn Syed Zainal Abidin ibn (Abdullah) al-Aidrus ibn Sheikh ibn Abdullah al ibn Sheikh ibn Abdullah al-Aidrus ibn Abu Bakr as-Sakran ibn Abd Rahman as-Saqaf ibn Muhammad ibn Alwi ibn Muhammad ibn Ali ibn Muhammad Sahib Mirbath ibn Ali ibn Alawi ibn Muhammad ibn Alawi ibn Ubaidullah ibn Ahmad al-Muhajjir ibn Isa ibn Muhammad an-Naqib ibn Ali ibn Ja’afar as-Sadiq ibn Muhammad al-Baqar ibn Ali Zainal Abidin ibn Imam al-Hussein (Radiallahuanhu) ibn Sayyiditina Fatimah az-Zahra bint Muhammad Rasullullah Sallallahualai Wasallam
(Penghargaan kepada IR HJ MAZELAN ABD SAMAD yang telah melakukan kajian ke atas keturunan leluhur kami, RAJA AHMAD, segala info di dalam POSTING ini adalah daripada kajian beliau)
April 2008, setelah digerakkan hati sejak setahun yang lepas, utk mengetahui tentang keturunan saya yang bersalasilah sejak zaman dahulu lagi, saya telah mendapat maklumat tersebut daripada keluarga belah ayah saya iaitu Hj Mazelan pada minggu lepas.
Saya menganggap maklumat ini sebagai hadiah harijadi saya yang akan tiba pada 1 Mei ini. Mengetahui asal usul kita adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dari sana kita ketahui bagaimana kita dihubungkan dengan mereka melalui genetik dan nasab.
RAJA AHMAD atau nama penuhnya,
Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah ibni al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah (1761)
Pada tahun 1761, Tengku Tengah (lahir 1752) telah ditabalkan menjadi Sultan Johor-Riau bergelar Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah ibni al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah di Riau. Pertabalan tersebut telah dibuat oleh Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja. Kebanyakan riwayat termasuk ‘Tuhfat Al-Nafis’ menyebut bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah mangkat dalam tahun 1761. Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah disingkirkan dan masih hidup sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri.
SEJARAH HIDUP TENGKU AHMAD @ PADUKA SRI SULTAN AHMAD I RI’AYAT SHAH
Tengku Tengah, juga dikenali Tengku/Raja Ahmad diputerakan didalam tahun 1752. Putera kepada Raja di Baroh iaitu Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah ibni al-marhum Paduka Sri Sultan Sulaiman Badr ul-‘Alam Shah, Sultan Johor dengan Sultanah Tengku Puteh binti Raja Chelak, puteri ke tiga kepada Raja Chelak bin Daeng Rilaga, Yang di Pertuan Muda Riau ke 2 dengan Tengku Mandak binti al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah puteri ke tiga Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah bin Bendahara ‘Abdu’l Majid, Sultan Johor-Riau.
Tengku Tengah telah ditabalkan menjadi Sultan Johor-Riau di Riau pada usia baginda 9 tahun bergelar Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah setelah kemangkatan ayahanda baginda al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah pada 29 Januari 1761.
Oleh kerana terlalu sedih atas kemangakatan Paduka Sri Sultan Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah, bonda baginda Tengku Puteh telah jatuh gering dan mangkat pada 16 Februari 1761 iaitu kurang sebulan selepas kemangkatan Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah dan dimakamkan di Batangan, Riau.
Semasa menjadi Sultan, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah tinggal bersama Bendahara Tun Hassan di Kampung Bulang. Manakala adinda baginda Tengku Mahmud dipelihara oleh bonda saudara baginda Tengku Hitam di Riau.
Dalam tahun yang sama iaitu 1761 ‘Tuhfat Al-Nafis’ ada menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah jatuh gering seterusnya mangkat di Kampung Bulang dan dimakamkan di Batangan, Riau. Manakala menurut ‘Institusi Bendahara – Permata Yang Hilang’ bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah mangkat akibat termakan racun.
Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup selepas disingkirkan sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri. Menurut cerita-cerita lisan waris di Kampung Relong yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang dan sebenarnya Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara Tun Hasan didalam gulungan tikar mengkuang dari Kampung Bulang. Pada tahun 1770 Bendahara Tun Hassan telah mangkat dan digantikan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid yang juga dikenali sebagai Bendahara Pahang.
Pada masa inilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah menghilangkan diri dimana dipercayai Bendahara Tun Abdul Majid secara senyap-senyap telah menghantar baginda ke satu tempat yang paling terpencil didalam Negeri Pahang iaitu di Kuala Relong. Disinilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah yang menukar nama baginda kepada Dato’ Ahmad (Dato’ Linggi) telah membuka perkampongan pada tahun 1795, iaitu pada usia baginda 43 tahun. Di sinilah juga baginda mangkat dan dimakamkan dibawah pokok kundang di Kuala Relong sekitar tahun 1812-1815.