18 February 2008

SIRI 1 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR



Hari ini adalah hari penentu untuk sebuah perhubungan.

Seri merasakan dirinya seakan tidak upaya untuk melangkah menuju ke destinasi yang telah dijanjikan itu. Tetapi dia harus membuat keputusan tersebut, keputusan penting dalam hidupnya dan penting juga untuk Yazid sebenarnya.

Sekembalinya Yazid dari luar negara, mereka pernah bertemu beberapa kali. Malah pertemuan itu sangat menggembirakan sebenarnya. Mereka terbawa dengan kenangan lama, seakan masa berulang kembali dan mereka merasakan mereka masih seperti Seri dan Yazid yang dahulu, Seri dan Yazid yang pernah menjadi kawan baik, yang pernah sama-sama bermimpi dan berkongsi impian dan cita-cita. Sedangkan kedua-dua mereka sedar, realiti kini sangat berbeza. Ada ikatan dan hati yang perlu dijaga dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.


Memang benar, mereka boleh menjalinkan persahabatan tetapi benarkah itu persahabatan dalam erti kata yang sebenarnya? Bolehkah mereka menjaga hati daripada tidak terlencong dari definisi seorang kawan?

Seri merasakan mereka hanya berpura-pura sahaja, sedangkan hakikatnya perasaan yang bermain di jiwa bagaikan gelombang yang menghempas ke tasik rindu dan kasih yang tidak ada sempadan.


Aku harus membuat keputusan sekarang sebelum segala-galanya terlambat, bisik hati Seri.

Api perlu dipadamkan sebelum ia marak dan ia lebih senang jika ia belum menyala lagi, getus hatinya.

Seri tiba sedikit lambat di tempat yang dijanjikan. Yazid menanti di tempat itu, tempat biasa mereka mengaturkan pertemuan. Tempat yang mereka sering lawati suatu ketika dulu. Sememangnya kenangan silam amat dekat di hati mereka, dan sukar untuk mengubah dan melupakan kenangan itu kerana ia sangat sempurna untuk dilupakan.

Seri tersenyum melihat Yazid dari kejauhan. Senyumannya hambar kerana dia tahu mereka akan berdepan dengan peperangan jiwa yang hebat. Memilih jalan yang memerlukan satu pengorbanan besar dan berpisah dengan segala kegembiraan yang mereka telah rasai selama ini, selama bertemu kembali setelah sekian lama terpisah.

Seri tahu Yazid juga merasakan apa yang dia rasakan. Seakan masa tidak ada penghujungnya apabila mereka mula berbicara, berat rasa untuk berpisah, rindu untuk bertemu kembali dan segala-galanya itu seakan tidak ada noktahnya.

Perhubungan ini perlu ada noktahnya, perlu ada, Seri perlu membuat keputusan. Itulah yang akan dia lakukan pada pertemuan itu.

Seri faham tidak akan ada sesiapa yang memahami perhubungannya dengan Yazid. Jika suatu ketika dulu, mungkin konfliknya hanya sekadar mereka berlainan fahaman tetapi sekarang konflik itu terlalu besar. Hingga untuk membina sebuah hubungan atas nama persahabatan pun, sudah menjadi satu pertikaian yang rumit. Mereka sama-sama sengsara tetapi dalam masa yang sama ikatan hati antara mereka begitu kuat, mereka terperangkap dalam lingkaran realiti.

Seri duduk di bangku tersebut dan hatinya seperti selalu, gembira apabila berada di sisi Yazid. Itulah perasaan yang tidak pernah hilang dari dirinya semenjak dari dulu lagi. Melihat Yazid dan merenung dalam ke matanya, Seri tahu perasaan itu tidak pernah berubah sejak dari dulu lagi.


Seri teringat pertemuan pertamanya dengan Yazid selepas Yazid kembali ke Malaysia. Pada mulanya dia serba salah sekali untuk berjumpa tetapi hatinya begitu kuat untuk bertemu dengannya. Dia yakin dia akan mampu menerima Yazid sebagai seorang kawan lama dan melupakan semua kenangan silam mereka.

Tetapi dia tahu di saat dia terlihat renungan mata Yazid kepadanya, dia dapat membaca, Yazid tidak pernah melupakannya dan Yazid adalah Yazid yang dulu juga walaupun situasinya sudah amat berbeza. Di situlah bermula putaran kesengsaraan dan kebahagiaan dalam hubungan mereka.

Sebenarnya ia lebih pedih daripada sebelumnya. Suatu waktu, apabila dia hanya terkenangkan Yazid dalam kenangan yang pernah tercipta, walaupun pedih tetapi ia tidak sepedih sekarang.

Tetapi kini apabila melihat Yazid di hadapan mata tetapi tidak dapat mencurahkan rasa kerana batasan-batasan dalam dunia realiti yang sudah ditakdirkan itu, adalah lebih memeritkan. Seri akui dia tidak kuat lagi untuk meneruskan hubungan ini, apa yang ditakuti mereka akan terbawa rasa hati sendiri dan melupakan segala batasan realiti dan menolak takdir yang sudah ditentukan lalu menghancurkan hati dan perasaan lain serta merosakkan persekitaran agama, masyarakat dan budaya yang berada di dalam kehidupan mereka.

Aku harus hentikan kegilaan ini, sebelum ia terlewat, Seri cuba meneguhkan pendiriannya.

No comments: