20 February 2008

SAJAK : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR



Telah kutinggalkan daerah kelmarin
Yang tinggal hanya kenangan
Hatipun jadi kaku dan dingin
Membeku
Tidak kukenal lagi makna rindu
Pada kenangan itu

Ia bagai selingkar kisah silam
Ditutup tabir semalam
Tak bisa lagi kusingkap
Kerana
Tiada lagi jendela mimpi yang terbuka

Apa pun aku bahagia di sini
Menitip rindu pada ilahi
Lewat malam yang sepi
Kerana
DIA selalu ada dihati
Dan sentiasa menemani
Aku tak sunyi lagi

DIA tak pernah jemu
Menyahut panggilanku
Biarkan aku bicara denganNya
KasihNya sejuk dingin
Menyiram hatiku
Di sini cinta abadi kubersemi
Kusemai dalam ketenangan hakiki

Indahnya belajar untuk mencintaiMu
Tiada cinta seindah cintaMu
Aku sendiri dan terasing di sini
Tetapi tidak pernah sepi
Kerana aku tahu
DIA sentiasa ada di sisi

SIRI 8 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR

Hati masih tetap akan berbicara. Walau kadang-kadang terhenti di persimpangan, kita perlu memilih jalan masing-masing. Perjalanan harus diteruskan juga. Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan, hidup bukan untuk memenuhi kehendak diri sendiri tetapi perlu redha dengan apa sahaja yang Tuhan sudah takdirkan dalam hidup.

Mengungkap perkataan REDHA itu mudah tetapi bila berada di satu persimpangan, antara kehendak diri dan amanah yang dipertanggungjawabkan Tuhan, kita perlu melupakan kepentingan diri kerana untuk menjadi seorang hamba dan layak untuk mengakui diri sebagai hamba Allah, maka itulah PENGORBANAN yang perlu dilakukan.

Yang teragung dalam hidup adalah mencari CINTA TUHAN.

Begitulah berakhirnya kisah dua insan yang ditakdirkan bertemu oleh Tuhan dan kerana menyahut panggilan CINTA TUHAN mereka terpisah juga akhirnya. Mungkin inilah MAHAR untuk mereka bayar bagi mengapai CINTA TUHAN.

Segala-galanya berakhir di noktah ini.

SIRI 7 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR







Wahai tasik
Arusmu tetap tenang
Dasarmu tidak siapa yang bisa menelah
Begitu juga hati dua insan
yang pernah terlakar kisahnya di sisimu

Andai kata masa berputar kembali
Tentu kau juga tangisi
akan pertemuan yang pernah tercipta
di mana kau jadi saksi
sebuah cerita airmata dan sengsara

Kini
Semuanya berakhir di noktah ini
Tiada lagi kenangan kan tercipta
Masing-masing melangkah pergi
Membawa bersama sekeping hati
Mengharap ada sinar kasih Ilahi
Di penghujung hayat nanti










SIRI 6 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR

Seri, selamat tinggal sayang. Seri jaga diri baik-baik dan teruskanlah kehidupan Seri. Yazid hanya dapat mendoakan Seri dalam kejauhan. Jangan ambil hati kalau Yazid kelihatan seperti tidak ambil peduli lagi mengenai Seri selepas ini. Bukan Yazid sudah melupakan Seri, tetapi itulah yang terbaik untuk kita dan hanya cara itu kita dapat menghentikan hubungan ini.

Memang perhubungan kita ini aneh, mungkin Allah mahu menduga setakat mana kemampuan kita menghadapinya.

Yazid memang masih menyimpan rasa sayang dan rindu pada Seri... tapi begitulah, kita ada tanggung jawab dan peranan kepada yang lain, yang lebih berhak malah dimeterai dengan janji di hadapan Allah... kita mesti laksanakan ia sebaik mungkin... itu tidak dapat dielakkan...

Yazid nak nyatakan sesuatu pada Seri, jika Yazid mati dan ditakdir hidup di syurga, insha-allah Yazid akan doakan supaya kita dipertemukan di sana. Kita berlainan fahaman, biarlah CINTA yang menghubungkan kita di sana nanti.

Ingatlah Seri, jika Seri merasa lelah dengan dunia realiti ini, lawatilah ke rumah maya yang telah Yazid sediakan untuk Seri selama ini, ia masih wujud dan akan wujud selama-lamanya untuk Seri, itulah hadiah abadi dari Yazid untuk Seri.


Itulah pertemuan terakhir mereka. Bersaksikan tasik yang pernah menjadi kenangan terindah dalam hidup mereka suatu ketika dulu, di mana kasih tersemai dan di situ juga mereka meleraikan hubungan yang pernah tercipta.

Tasik tetap tinggal sebagai tasik. Airnya yang tenang tetap tenang beralun.

Apakah hati mereka juga akan jadi setenang itu menghadapi realiti hidup ini? Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya.

SIRI 5 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR

Seri, Yazid juga begitu. Bantulah Yazid dengan tidak menghubungi Yazid kerana Yazid kadang-kadang tidak kuat juga. Yazid juga ada perasaan rindu padamu dan Yazid tahu Yazid akan merindui Seri. Cuma kita bajailah rindu itu dengan mengembalikannya kepada Tuhan. Itulah sahaja yang dapat kita lakukan.

Seri mengangguk lesu.


Yazid, Seri tidak mampu lagi untuk bersama Yazid. Seri perlu pergi meninggalkan Yazid. Seri tidak pernah membenci Yazid selama-lamanya. Tetapi Yazid perlu faham jika selepas ini Seri sudah tidak mengenali Yazid seperti dulu, bukan bermakna Seri melupai dan membenci Yazid, tetapi kerana Seri terlalu ingin lihat Yazid bahagia. Apa yang Seri lakukan adalah kerana kasih Seri pada Yazid tetap mekar di hati ini.

Yazid jaga diri baik-baik. Seri tidak dapat lagi menemani Yazid di sini, mungkin Seri tidak akan datang lagi ke sini kerana tempat ini sungguh memberi kenangan kepada kita berdua. Seri hanya mampu memandang dari kejauhan, Seri tidak sanggup lagi datang ke sini. Seri takut air mata Seri akan tumpah dan Seri tidak sanggup menanggung kerinduan itu. Seri takut tewas dengan emosi sendiri.

Air mata sudah tidak tertahan lagi, ia jatuh untuk ke sekian kalinya. Seri membiarkan sahaja air matanya menitik satu demi satu ke atas meja di hadapannya.

Mereka sama-sama di dalam kesedihan yang amat mencengkam. Seakan dunia menghimpit mereka. Seakan tidak terdaya untuk menarik nafas lagi.


Seri, Yazid juga mahu lihat Seri bahagia. Itu sudah cukup sebagai penawar untuk Yazid. Yazid minta maaf jika selama ini Yazid ada berbuat salah dan silap terhadap Seri.

Seri menyeka air matanya dan berkata,

Yazid, tidak ada apa-apa salah dengan Seri. Seri yang selalu bersalah kepada Yazid. Seri yang sengaja tidak mahu memahami sikap Yazid. Kalaupun ada, Seri sudah lupakannya dan Seri sudah memaafkannya untuk selama-lamanya. Terimakasih kerana begitu baik dengan Seri selama ini.

Seri tahu Seri tidak pernah tersalah dalam memahami Yazid, Cuma kadang-kadang Seri terlalu degil dan tanpa disedari melukakan hati Yazid. Sedangkan hati Seri mengakui apa sahaja yang Yazid lakukan bukan kerana benci tetapi kerana terlalu mengharapkan agar Seri bahagia dalam dunia realiti. Hakikatnya Seri yang tidak mampu untuk melakukannya seperti apa yang Yazid lakukan.

Seri tahu, Yazid lebih berusaha untuk membahagiakan Seri lebih dari kemampuan Seri sendiri.

Kerana menghargai sikap Yazid itulah, Seri mengambil keputusan ini. Keputusan untuk berpisah dan menamatkan hubungan kita ini selama-lamanya atau ke satu saat di mana tatkala itu realiti mungkin sudah tidak serumit sekarang ini.

Mungkin waktu itu, hati kita sudah kering dan layu dari perasaan rindu dan kasih yang terlarang, dan kita mampu untuk menjalinkan persahabatan dalam erti kata yang sebenarnya.


Untuk terakhir kalinya Yazid mengenggam tangan Seri dan membawa ia ke dadanya. Tangan Seri dikucupnya, dan air mata Yazid membasahi tangannya itu.
CINTA HANYA DISEDARI KEDALAMANNYA DAN TERASA PADA SAAT
PERPISAHAN TIBA. DAN SAAT TANGAN LAKI-LAKI MENYENTUH TANGAN SEORANG WANITA,
MEREKA BERDUA TELAH MENYENTUH HATI KEABADIAN

Khalil Gibran

19 February 2008

SIRI 4 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR




Seri melihat Yazid begitu terharu dengan pengakuan yang diluahkannya. Dia tahu kesengsaraan yang dialami oleh Yazid. Malah dia tahu dan dapat meneka apa masalah Yazid selama ini.

Seri merasa begitu simpati dengan Yazid tetapi apakan daya realiti tidak memungkinkan lagi mereka meneruskan hubungan.

Seri, Yazid hanyalah manusia yang hidup penuh dengan tanggungjawab dan masalah. Rasa tidak tertanggung lagi, biarlah Yazid meneruskan sisa-sisa perjalanan hidup dengan lebih tenang dan aman sendirian dan mengabdikan diri padaNya menurut fahaman yang Yazid yakin dan percaya.

Benarlah telahan Seri. Hatinya hiba sekali.

Dia berdoa dalam diam, Tuhan hanya padaMu kupinta Kau berikanlah kekuatan kepada Yazid untuk meneruskan kehidupan ini.

Seri meneruskan bicaranya,


Yazid, walaupun kita berlainan fahaman, tetapi Seri tahu dan yakin bahawa kita sama-sama mencari cinta Tuhan, mencari keredhaannya, jika kita ikhlas dalam niat itu, satu ketika satu masa nanti Tuhan tidak akan mensia-siakan niat kita itu. Sama-samalah kita mendoakan antara satu sama lain.

Seri banyak belajar dari hubungan kita ini. Perbezaan fahaman itu boleh diselesaikan dengan fitrah yang Tuhan berikan, fitrah yang sangat murni iaitu kasih dan sayang. Itulah yang diajar Rasulullah melalui akhlaknya yang sangat mulia itu. Ikatan hati antara kita begitu kuat, itulah yang menghubungkan kita. Biarlah kita terpisah di dunia ini, tetapi Seri tahu, ia bukan perpisahan maknawi.

Yazid, kita simpan sahaja apa sahaja perasaan itu dihati kita ini. Seri akan simpan ia di sudut yang paling sunyi dalam hati ini. Ya, disudut yang paling dalam dan sepi,, sehingga hati Seripun tidak mampu untuk menjengahnya lagi.

Bantulah Seri, Yazid. Seri takut Seri tidak mempunyai kekuatan untuk menamatkan hubungan ini, jika Seri kelihatan ingin kembali memulakan hubungan ini, hentikanlah ia.

Seri merenung sayu wajah Yazid.

Permintaannya itu sungguh berat kerana dia tahu dia akan berperang dengan perasaan dan dia tidak tahu setakat mana kemampuannya untuk menamatkan hubungan itu.

SIRI 3 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR

Seri menyapu air matanya, dan dia terlihat wajah Yazid. Dia terkejut dan hatinya sangat hiba. Ada air mata yang bergenang di mata Yazid, dan mata Yazid kelihatan merah menahan tangisan dalam diam.


CINTA YANG DIBASUH DENGAN AIR MATA AKAN TETAP MURNI DAN INDAH SENTIASA
Khalil Gibran


Wahai Yazid, tidak sanggup rasanya aku melihat kau menangis di depanku kerana aku tahu air mata seorang lelaki sangat mahal untuk dititiskan, hati Seri menjerit hiba.

Di saat itu dia tahu betapa dalamnya perasaan Yazid terhadapnya.

Betapa sengsaranya Yazid selama ini. Ya, mereka sama-sama sengsara.

Seri, telah lama Yazid fikirkan hal ini. Maafkan Yazid kerana kadang-kadang melukakan hati Seri kerana Yazid mahu sedarkan Seri bahawa hubungan ini perlu ditamatkan.

Kita sudah terlambat untuk merealisasikan apa yang dikhayal. Keretapi sudah lama bertolak dan tak perlulah kita menunggunya kerana itu keretapi yang terakhir. Berpuashatilah dengan kenderaan yang ada untuk bergerak menuju ke arah dan hala tuju yang sama.

Hidup ini adalah realiti dan bukan satu mainan. Kita ada perjalanan yang harus ditempuh. Perjalanan yang amat jauh itu perlukan bekalan. Bekalan yang perlu disediakan ialah menunaikan tanggung jawab pada Agama, Keluarga, Masyarakat dan diri sendiri dalam erti kata menyembah diri pada Tuhan.

Kita perlu menunaikan tanggung jawab itu lebih utama dari perhubungan ini.

Seri terkedu. Apa yang Yazid katakan itu memang benar, memang benar. Hanya dia yang cuba lari untuk memahaminya. Dia tahu kesengsaraan Yazid kerana apa yang Yazid rasakan itu dia fahami sungguh. Cuma dia masih belum kuat untuk membuat keputusan tetapi kini dia sudah ada kekuatan itu.

Yazid, apa yang Yazid katakan itu benar sekali, Seri faham, faham sangat-sangat. Cuma sebagai seorang perempuan Seri terlalu mengikut emosi, itu kelemahan Seri. Tetapi kini kerana emosi itu juga, Seri ada kekuatan untuk menamatkan hubungan ini.

Seri dengan rela membuat keputusan ini, tidak ada sesiapa yang memaksa Seri. Mungkin ini adalah pengorbanan atas nama kecintaan yang luhur, Seri mahu melihat kebahagiaan Yazid di dunia dan di akhirat.

SIRI 2 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR

Perlahan-lahan dia merenung wajah Yazid.

Yazid, sebenarnya Seri ada hal penting untuk katakan pada Yazid, Seri memulakan bicaranya.

Mengapa Seri, tanya Yazid dengan lembut. Suara itulah yang selalu dirindukan Seri selama mereka terpisah sekian lama itu. Suara yang penuh dengan kelembutan itu sering kali menceriakan hari-hari yang dilaluinya suatu ketika dahulu.

Yazid merenung jauh ke dalam mata Seri, dan renungan itu membuatkan Seri seakan hilang kata-kata untuk meneruskan bicaranya.

Seri terkenang dia selalu mengusik Yazid, katanya, Yazid, pinjamkan aku bulu matamu yang lebat itu, mata aku tak cukup bulu matalah...akukan ala-ala korea, itulah usikan yang masih Seri ingat sampai bila-bila.

Ah, kenangan mengapa kau masih menganggu aku di saat yang segetir ini, getus hati Seri.

Seri meneruskan kata-katanya,
Yazid, selama ini Seri tahu kita sama-sama sengsara di dalam membina kembali hubungan ini. Tak perlulah kita berpura-pura dengan menganggap kita berkawan kerana kawan itu hanya perkataan yang kita guna tetapi itu bukan makna yang sebenarnya dalam hubungan kita ini. Hati kita sendiri akui tetapi kita lari dari cuba untuk memahami hakikat sebenarnya.

Hati Seri pada Yazid tidak pernah berubah ia tetap begitu dari dulu lagi, dan Seri tahu Yazid juga begitu, walaupun Yazid tidak pernah mengucapkannya tetapi Seri tahu.

Yazid, kita perlu menamatkan hubungan ini, kita jangan berhubung lagi, kita putuskan terus untuk selama-lamanya, Seri tidak sanggup menyusahkan Yazid lagi, Seri tidak mahu Yazid sengsara lagi, Seri kenal Yazid dan tahu bahawa Yazid serba salah dengan hubungan ini.

Seri tahu Yazid mahu lihat Seri bahagia dalam hidup. Seri tahu semua itu, mengapa kadang-kadang sikap Yazid melukakan hati Seri selama ini. Seri tahu Yazid memikirkan kebahagiaan Seri lebih daripada diri Yazid sendiri
.

Air mata Seri tumpah juga akhirnya. Ia menitis laju menuruni pipi gebunya. Tidak sanggup dia memandang Yazid ketika itu. Mereka terdiam seketika. Hati masing-masing berperang hebat.

18 February 2008

SIRI 1 : DI SINI SEGALANYA BERAKHIR



Hari ini adalah hari penentu untuk sebuah perhubungan.

Seri merasakan dirinya seakan tidak upaya untuk melangkah menuju ke destinasi yang telah dijanjikan itu. Tetapi dia harus membuat keputusan tersebut, keputusan penting dalam hidupnya dan penting juga untuk Yazid sebenarnya.

Sekembalinya Yazid dari luar negara, mereka pernah bertemu beberapa kali. Malah pertemuan itu sangat menggembirakan sebenarnya. Mereka terbawa dengan kenangan lama, seakan masa berulang kembali dan mereka merasakan mereka masih seperti Seri dan Yazid yang dahulu, Seri dan Yazid yang pernah menjadi kawan baik, yang pernah sama-sama bermimpi dan berkongsi impian dan cita-cita. Sedangkan kedua-dua mereka sedar, realiti kini sangat berbeza. Ada ikatan dan hati yang perlu dijaga dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.


Memang benar, mereka boleh menjalinkan persahabatan tetapi benarkah itu persahabatan dalam erti kata yang sebenarnya? Bolehkah mereka menjaga hati daripada tidak terlencong dari definisi seorang kawan?

Seri merasakan mereka hanya berpura-pura sahaja, sedangkan hakikatnya perasaan yang bermain di jiwa bagaikan gelombang yang menghempas ke tasik rindu dan kasih yang tidak ada sempadan.


Aku harus membuat keputusan sekarang sebelum segala-galanya terlambat, bisik hati Seri.

Api perlu dipadamkan sebelum ia marak dan ia lebih senang jika ia belum menyala lagi, getus hatinya.

Seri tiba sedikit lambat di tempat yang dijanjikan. Yazid menanti di tempat itu, tempat biasa mereka mengaturkan pertemuan. Tempat yang mereka sering lawati suatu ketika dulu. Sememangnya kenangan silam amat dekat di hati mereka, dan sukar untuk mengubah dan melupakan kenangan itu kerana ia sangat sempurna untuk dilupakan.

Seri tersenyum melihat Yazid dari kejauhan. Senyumannya hambar kerana dia tahu mereka akan berdepan dengan peperangan jiwa yang hebat. Memilih jalan yang memerlukan satu pengorbanan besar dan berpisah dengan segala kegembiraan yang mereka telah rasai selama ini, selama bertemu kembali setelah sekian lama terpisah.

Seri tahu Yazid juga merasakan apa yang dia rasakan. Seakan masa tidak ada penghujungnya apabila mereka mula berbicara, berat rasa untuk berpisah, rindu untuk bertemu kembali dan segala-galanya itu seakan tidak ada noktahnya.

Perhubungan ini perlu ada noktahnya, perlu ada, Seri perlu membuat keputusan. Itulah yang akan dia lakukan pada pertemuan itu.

Seri faham tidak akan ada sesiapa yang memahami perhubungannya dengan Yazid. Jika suatu ketika dulu, mungkin konfliknya hanya sekadar mereka berlainan fahaman tetapi sekarang konflik itu terlalu besar. Hingga untuk membina sebuah hubungan atas nama persahabatan pun, sudah menjadi satu pertikaian yang rumit. Mereka sama-sama sengsara tetapi dalam masa yang sama ikatan hati antara mereka begitu kuat, mereka terperangkap dalam lingkaran realiti.

Seri duduk di bangku tersebut dan hatinya seperti selalu, gembira apabila berada di sisi Yazid. Itulah perasaan yang tidak pernah hilang dari dirinya semenjak dari dulu lagi. Melihat Yazid dan merenung dalam ke matanya, Seri tahu perasaan itu tidak pernah berubah sejak dari dulu lagi.


Seri teringat pertemuan pertamanya dengan Yazid selepas Yazid kembali ke Malaysia. Pada mulanya dia serba salah sekali untuk berjumpa tetapi hatinya begitu kuat untuk bertemu dengannya. Dia yakin dia akan mampu menerima Yazid sebagai seorang kawan lama dan melupakan semua kenangan silam mereka.

Tetapi dia tahu di saat dia terlihat renungan mata Yazid kepadanya, dia dapat membaca, Yazid tidak pernah melupakannya dan Yazid adalah Yazid yang dulu juga walaupun situasinya sudah amat berbeza. Di situlah bermula putaran kesengsaraan dan kebahagiaan dalam hubungan mereka.

Sebenarnya ia lebih pedih daripada sebelumnya. Suatu waktu, apabila dia hanya terkenangkan Yazid dalam kenangan yang pernah tercipta, walaupun pedih tetapi ia tidak sepedih sekarang.

Tetapi kini apabila melihat Yazid di hadapan mata tetapi tidak dapat mencurahkan rasa kerana batasan-batasan dalam dunia realiti yang sudah ditakdirkan itu, adalah lebih memeritkan. Seri akui dia tidak kuat lagi untuk meneruskan hubungan ini, apa yang ditakuti mereka akan terbawa rasa hati sendiri dan melupakan segala batasan realiti dan menolak takdir yang sudah ditentukan lalu menghancurkan hati dan perasaan lain serta merosakkan persekitaran agama, masyarakat dan budaya yang berada di dalam kehidupan mereka.

Aku harus hentikan kegilaan ini, sebelum ia terlewat, Seri cuba meneguhkan pendiriannya.