13 August 2009
CATATAN CIK SERI : KU BERMOHON DIRI
Terdengar dari siaran radio sebuah lagu lama, entah siapa penyanyinya, tetapi Seri cuba menghayati liriknya.
"Putuslah tali, putus sudah ikatan"
"Pecahlah piring hancur sudah harapan"
"Tamatkan sahaja riwayat nan sedih"
"Selamat tinggal ku bermohon diri"
"Jangan ditanya kemana aku pergi"
"Jangan ditanya mengapa aku pergi"
"Hapuskan sahaja kenangan yang lama"
"Selamat Tinggal ku Bermohon diri"
Sebuah lagu yang syahdu, dan suara penyanyi itu memang cukup merdu sekali. Seri seakan termangu seketika mendengar alunan suaranya yang mendayu.
Terkadang sebuah lagu mampu menyentuh sejuta rasa, menghimbau seribu cerita, bisik hati Seri.
Seri terkenang pada kisah yang telah berlalu sangat lama dahulu. Kisah dirinya dengan Yazid.
"Apa khabar agaknya Yazid, tentu sangat bahagia dengan keluarganya sekarang", Alhamdulillah jika begitu", Seri mendoakan Yazid.
Jika redha Allah yang dicari maka insyaAllah, Allah akan membela nasib hambaNya", Seri yakin dan Seri percaya Yazid bahagia sekarang.
"Aku telah memilih jalan yang terbaik, walaupun jalan itu tidak semudah yang kusangka namun pengorbanan itu adalah yang terbaik untuk dilakukan, tidak ada pilihan lain lagi", getus hati Seri.
Sebagai seorang perempuan yang lemah dan sering terbawa perasaan, bukan sekejap masa yang Seri harus hadapi saat getir itu, hanya Allah yang tahu betapa rumitnya situasi waktu itu, sewaktu dia mengucapkan selamat tinggal kepada Yazid. Segalanya harus ditempuhi bersendirian, Seri tidak punya sesiapa, tidak ada siapa yang ambil tahu apa yang telah dialaminya, dan sebenarnya sampai saat ini Seri merasa satu keajaiban kerana dia berjaya melaluinya.
"Alhamdulillah, semuanya telah berlalu", Seri tersenyum.
Seri bersyukur kepada Allah yang memberikan kekuatan demi kekuatan sehinggalah dia kini mampu menyiapkan pengajian PhDnya. Selama dua tahun, Seri seakan kehilangan jiwa untuk meneruskan pengajiannya itu, namun akhirnya dia membina kekuatan dan mengumpul segala keazaman yang tersisa, akhirnya ketika ini dia berjaya menamatkannya.
"Itupun satu keajaiban", aku tak sangka aku mampu menghabiskannya walaupun banyak masa yang telah aku sia-siakan, rupanya soal hati lebih berat dari soal PhD", getus hati Seri.
Seri terkenang pada anaknya, Fisa. Fisa juga merupakan satu sumber inspirasi Seri untuk cepat-cepat menghabiskan pengajiannya. Melihat Fisa yang semakin membesar membuat Seri tersedar bahawa dia sudah terlalu lama membiarkan masa berlalu. Perjuangan harus disinambungkan, kehidupan mesti diteruskan.
Fisa anak kecil comel yang "cheeky". Keletahnya menghiburkan. Wataknya yang happy go lucky selalu mengundang gelihati. Hobinya yang suka menyanyi kadang-kadang menggeletek rasa di hati. Itulah Nafisah. Senyumannya yang manis dengan lesung pipit di pipi memberikan Seri inspirasi untuk bersemangat meneruskan apa yang telah ditinggalkan sebelum ini.
Dia tahu Yazid juga mempunyai seorang anak perempuan kecil kini. Seri rasa kehadiran anak kecil itu tentu menambahkan keriangan di dalam keluarganya.
"Tentu sekali menjadi penghubung kasih yang semakin erat di antara dia dan isterinya, alhamdulillah", Seri tersenyum.
"Kebahagiaan Yazid adalah kebahagiaan untuk ku juga, Yazid adalah kawan ku dari dulu dan hingga kini, tentulah sebagai kawan aku mendoakan agar hidupnya berjaya dan berbahagia, aku bukan orang yang akan merasa bahagia di atas kesusahan orang lain, walaupun mungkin ada yang menganggap aku musuh mereka", getus hati Seri.
"Aku tidak mampu untuk menghalang orang dari membenci diri aku, tetapi aku yakin Allah tahu apa yang ada dihati ku, biarlah Allah sahaja yang menjadi saksi bahawa aku telah memaafkan mereka, aku tidak mahu meninggalkan dunia yang fana ini dengan membawa dendam atau benci di hati kepada sesama makhlukNya, biarlah aku mengadapNya dengan aman", bisik hati Seri.
Tiba-tiba Seri merasa kesayuan dihati.
"Pengalaman mengajar aku bahawa Allah SWT adalah teman terbaik di waktu senang dan derita, Dia sentiasa ada dan mendengar setiap denyut hati ku, Rasullullah pula sentiasa mendoakan umatnya, syafaat dan berkat baginda sentiasa mengiring selawat umatnya, tanpa kekuatan ini aku tidak tahu apakah yang akan berlaku ke atas diriku, betapa pengalaman ini sangat berharga, aku sedar bahawa selama ini aku jauh dari Allah dan RasulNya, cepat ditipu dan tertipu dengan hawa nafsu, muga kini aku telah belajar hikmah dari segala penderitaan yang telah aku lalui", Seri menyeka airmatanya yang sudah mula bertakung dikelopak matanya.
Seri merasa sebak, namun dihatinya penuh dengan pengharapan.
Dia hanya mengharapkan jika umurnya masih dipanjangkan lagi oleh Allah SWT, muga dia mampu menjadi hambaNya yang berbahagia di dunia dan akhirat. Kekayaan dan harta dunia bukanlah tujuan utamanya, namun keredhaan Allah SWT di dalam kehidupan yang masih tersisa ini yang didoakan dirinya.
"Ya Allah, Kau pinjamkan aku rasa kasih sayangMu agar aku mampu menyayangi makhlukMu, jadikan aku orang yang bersyukur atas segala nikmatMu, jadikan aku redha dengan ujianMu, jadikan aku sabar di dalam tingkahku, sesungguhnya tiada yang lebih berharga dari keampunanMu ke atas diriku yang penuh berdosa ini".
Seri ingin menyatakan kepada Yazid, walaupun Yazid menganggap dia sebagai musuh atau membenci dia sehingga akhir hayatnya dek kerana bersalah sangka terhadap niat dihatinya, namun di hati Seri, masih tersimpan rasa penghargaan ke atas kebaikan Yazid selama itu.
"Aku redhakan Yazid membenci diriku ya Allah, cuma satu yang kupinta, Kau peliharalah dia dengan kasihsanyangMu kerana dia pernah satu ketika dulu menjadi kawan yang sangat baik terhadap diriku ini".
Selamat tinggal Yazid.
Seri bermohon diri.
Subscribe to:
Posts (Atom)